Pihak Shura-Cimma mendesak agar Kerajaan Thailand membenarkan pelarian Rohingya mendapat perlindungan sementara di sana.Atas perkiraan dasar kemanusiaan, mereka hendaklah dilayan dengan baik bukannya mengusir mereka ke laut sebagaimana yang dilapurkan sebelum ini, desakan ini dinyatakan oleh Koordinator Shura-Cimma Cikgu Azmi Abdul Hamid yang sekarang ini masih berada di Gaza Palestin.
Kata beliau " pihak Shura-Cimma akan melakukan sesuatu bagi menangani masalah yang timbul berhubung dengan pelarian Rohingya, InsyaAllah sekembalinya dari Gaza".
Pelarian Rohingya cedera
BANGKOK 27 Jan. - Sebuah bot yang dinaiki oleh seramai 78 etnik Rohingya ditahan di Thailand semalam dengan kesan luka dan terbakar pada anggota badan mereka yang dipercayai kesan daripada perbuatan tentera Myanmar.
Ketua Operasi Keselamatan Dalaman Thailand, Kolonel Manat Kongpan berkata, pasukan pengawal tentera laut menemui kumpulan terbabit di lautan Andaman di selatan negara dalam bot yang rosak enjin.
Etnik Rohingya adalah kumpulan penduduk beragama Islam dari barat laut Myanmar yang meninggalkan negara pemerintahan tentera itu kerana berdepan dengan tekanan dan kesukaran ekonomi.
Menurut Kumpulan Hak Asasi Manusia, tentera laut Thai telah dua kali mengusir bot yang membawa beratus-ratu etnik pelarian berkenaan ke laut dan menyebabkan beratus-ratus terbunuh.
Pegawai tentera bagaimanapun, berulang kali menafikan tuduhan itu dan menyatakan mereka hanya menahan dan menghantar balik pendatang asing.
Menurut Manat, etnik Rohingya yang ditahan memberitahu kepada pihak berkuasa Thai mereka telah diserang oleh tentera Myanmar.
"Mereka telah dipukul ketika melintas sekatan tentera Myanmar. Mereka keletihan dan kelaparan," katanya.
Sementara itu, Ketua polis wilayah Paknan, Ranong, Kolonel Veerasilp Kwanseng berkata, pelarian terbabit mengalami kecederaan di anggota badan mereka seperti kesan sebatan dan terbakar.
"Berpuluh-puluh kumpulan terbabit adalah mereka yang terdiri daripada berumur 18 tahun ke bawah.
"Kebanyakan mereka pula mengalami keletihan serius dan memerlukan rawatan bantuan dan kami telah mengarahkan pihak perubatan tempatan untuk mengubati kumpulan terbabit," jelasnya.
Kumpulan Hak Asasi Manusia melaporkan, seramai 550 daripada 1,000 pelarian Rohingya yang diusir sejak Disember tahun lalu dikhuatiri mati lemas.
Televisyen NBT menunjukkan gambar lelaki kurus kering dan letih dalam kelompok terakhir yang diubati oleh pasukan perubatan sambil memegang pendaftaran.
Veerasilp berkata, 78 pelarian tersebut telah ditemui terapung-apung dekat kepulauan Surin di Thailand selepas beberapa tempoh yang tidak diketahui berada di lautan dan akan didakwa atas kesalahan penghijrahan haram.
Kesalahan itu membawa denda sehingga 2,000 baht (RM) tetapi adalah jarang dikuatkuasakan dalam kes pelarian.
Menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lebih 230,000 etnik Rohingya hidup dalam keadaan tidak menentu dan tanpa kerakyatan di Bangladesh selepas berdekad-dekad melarikan diri dari kerajaan pemerintahan tentera kerana berdepan dengan tekanan dan kesukaran ekonomi. - Agensi
No comments:
Post a Comment