Friday, October 31, 2008

Agenda Pemerkasaan Umat - dari Retorik Kepada Tindakan

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS
Setiausha Agung SHURA


Segala puji dan syukur kepada Allah S.W.T yang Empunya alam dan segala isinya , Yang Memilikki dan Berkuasa ke atasnya mengikut Kehendakknya , yang Menentukan Kekuasaan mengikut Kebesarannya , yang menetapkan Hidayah ke atas hambaNya. Yang memenangkan agamaNya di atas segala millah yang lain. Yang melindunggi hak dan menhancurkan yang bathil. Selawat dan salam ke atas Kekasihnya Muhammad Rasulullah s.a.w. yang diangkat sebagai insan terpilih , yang kecintaan kepadaNya tidak ada tandingannya , yang meninggalkan mutiara petunjuk buat sepanjang zaman . Kermuliaan ke atas ahli keluarga baginda dan para shabat baginda yang terpilih dan para tabi’in dikalangan para syuhada dan solehin.

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi , dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah , musuhmu dan orang selain meraka yang kamu tidak mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiayai (dirugikan).” Al Anfal- 60

Umat Islam kini sudah mencecah ke jumlah 1,565.28 juta (23.52%) berbanding jumlah penduduk dunia seramai 6,313.78 juta (sehingga 2005). Kadar pertumbuhan kaum Muslimin di anggar 2.9% setiap tahun namun jika kita mengambil kadar pertumbuhan 2 % setahun , umat Islam akan mencecah ke jumlah 1,596.59 bilion pada 2006.

Pada 1,427 tahun yang lalu Rasullulah s.a.w. telah melaksanakan perintah Hijrah yang bersejarah dari Mekah ke Madinah yang telah merubah matlamat hidup manusia seluruhnya. Dalam tempoh 200 tahun , Islam merebak hampir setiap penjuru dunia dan telah menghasilkan tamadun yang tidak ada tandingannya.

Kita harus berganjak dari hanya mengagung-agungkan kegemilangan masa lalu kepada merenungkan kedaan umat Islam masakini yang sangat menyedihkan dan merangka strategi bagaimana kita harus bertindak untuk membangkitkan keupayaan umat supaya kita dapat menyumbang kepada pembinaan manusia , keadilan dan keamanan di dunia ini.

Keadaan Dunia Islam

Punca kepada kelemahan ekonomi dan pembangunan manusia di Negara-negara majoriti umat Islam ialah ketiadaan pemerintahan demokratik berasaskan ajaran Islam. Tidak ada ruang dalam Negara-negara ini ,untuk berkembang dan berfungsinya masyarakat sivil. Hak asasi manusia dinafikan . kebebasan bersuara dan berkumpul serta hak asasi disekat dengan keras.

Pilihanraya kalaupun dilaksanakan hanya tinggal amalan ritual hanya untuk mengabsahkan kuasa pemimpin autoritarian. Pihak pembangkang dalam regim yang menindas telah dipaksa menghadapi tahanan tanpa bicara , dipenjara dan diseksa. Budaya takut dan patuh kepada pihak berkuasa telah ditanam dikalangan rakyat melalui undang-undang yang supresif dan juga melalui pendidikan yang hanya mengukuhkan budaya feudalisme dan media massa yang mencorakkan budaya hidup permissif dan submissif.

Institusi awam yang autonomus tidak dibenarkan berkembang. Sistem kehakiman , keselamatan dan tentera serta khidmat awam telah dijadikan alat untuk melindungi kepentingan segelintir golongan pemerintah dan penyokong-penyokongnya.

Setelah menjalankan bancian didunia Arab , Laporan Pembangunan Manusia Negara Arab 2002 AHDR, telah merumuskan “ Terdapat kemunduran yang ketara antara negara-negara Arab dan kawasan yang lain dari segi pemerintahan yang partisipatif .. Dalam banyak hal , corak pemerintah yang berciri konsentrasi kuasa esksekutif yang sangat besar keatas bahagian-bahagian lain dalam Negara (dalam kes-kes tertentu) tidak disemak dan diimbangi secara instituisional. Demokrasi berasaskan sistem perwakilan tidak selalunya berjalan secara bersih dan kadangkala tidak ujud. Kebebasan bersuara dan berorganisasi seringkali disekat. Sistem kuasa mutlaq (dalam tangan pemerintah) yang sudah lapuk maseh terus diamalkan.” Penemuan dalam AHDR ini boleh juga diaplikasikan pada kebanyakan Negara-negara orang Islam yang lain.

Golongan elit pemerintah dibanyak Negara-negara umat Islam telah gagal membawa pembangunan sosio-ekonomi yang dapat memenuhi keperluan asas rakyatnya. Berlakukan keperluan rakyat untuk makanan , perumahan , pendidikan , kesihatan dan kemudahan sosial tidak dipenuhi dengan sempurna oleh pemerintah padahal pemimpin-pemimpin hidup dengan mewah. Terdapat jurang yang luas dalam hal pemilikan kekayaan . Akses kepada sumber serta peluang ekonomi sering terbatas kepada golongan elit semata-mata .

Rasuah dan salahguna kuasa sangat berleluasa yang memberi kesan kepada seluruh perkhidmatan awam. Perbendaharaan hampir kosong kerana kekayaan nasional telah diselewengkan ketika pemerintah membeli pelbagai alat senjata yang canggih walaupun akhirnya tidak digunakan langsung. Sering juga pemerintah melaksanakan projek-projek mega yang membazir sekaligus ada yang menyalurkan wang kepada sanak keluarga dan kroni dikalangan golongan elit pemerintah.

Autorianisme dan perlanggaran hak asasi manusia bukan sahaja masalah yang dihadapi golongan kaum Muslimin. Masalah Sektorianisme , esktremisme , amalan adat atas nama Islam dan tiada tolak ansur adalah antara masalah utama kepada perpaduan , kemajuan dan pembangunan umat Islam. Sangat menyedihkan dan memalukan melihat golongan Sunni dan Syiah saling membunuh antara satu sama lain atas nama agama hatta dalam masjid. Musuh-musuh Islam mengambil kesempatan untuk mengujudkan pemisahan dan perpecahan serta mengeskploitasi ajaran-ajaran salah ini untuk memburukkan kaum Muslimin dan Islam dan mengekalkan kita dalam keadaan berpecah.

Golongan Muslim yang diceroboh

Golongan Zionis telah menguasai Palestin secara haram sejak berdekad-dekad. Jutaan Palestin, yang diusir oleh Zionis , telah hilang tempat tinggal dan kebun mereka dan terpaksa hidup sebagai pelarian dalam keadaan yang sangat sulit. Setiap hari hak asasi manusia dilanggari – kanak-kanak yang membaling batu ditembak mati secara zalim , rumah dimusnahkan , hukuman secara beramai-ramai dipaksa keatas orang awam , kebun dimusnahkan serta bekalan makanan dan ubatan dinafikan.

Israel , dengan sokongan AS , telah secara biadab menolak resolusi PBB yang memutuskan tindakan ke atasnya . Padahal jelas Israel melanggar hak asasi manusia dan seluruh undang-undang antarabangsa. Resolusi PBB itu samasekali tidak dihormati untuk memberhentikan pencerobohan haram Israel ke atas kawasan-kawasan Palestin yang dikuasainya.

Kini kita sedang menyaksikan babak selanjutnya keganasan Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza dan di Lubnan. Seluruh dunia sedang menyaksikan mayat rakyat sivil Palestin dan Lubnan bergelempangan saban hari bila Israel melancarkan serangan tenteranya yang kejam dan barbarik itu. Sementara ribuan yang tercedera , ratusan ribu menjadi pelarian sekelip mata. PBB terpaku dan hanya merayu serangan dihentikan manakala AS terus menghantar bantuan alat senjata pembunuh kepada Israel.

Begitu juga tragedi kemanusiaan sedang berlaku di Chechnya , Kashmir , Afghanistan , Gujarat dan tempat-tempat lain.

Pada 2003 , AS secara haram menceroboh dan menguasai Iraq , sebuah Negara berdaulat yang menjadi anggota PBB. Pencerobohan itu telah mengakibatkan kekurangan bekalan makanan , ubatan dan keperluan asas. Lebih dari 100,000 rakyat Iraq telah mati sejak pencerobohan haram AS.


Di Thailand Selatan , iaitu wilayah kaum Muslimin , eskploitasi dan penindasan ke atas orang Islam berterusan tanpa henti . Ratusan orang awam hilang disebabkan oleh penangkapan dan pembunuhan oleh pihak keselamatan . Pada Oktober 2004 , 78 orang di Tak Bai telah ditahan ketika berdemonstrasi dan terbunuh ketika dalam tahanan pihak askar namun mereka yang bertanggungjawab tidak didakwa dan dihukum hingga hari ini. Pembunuh peguam hak asasi manusia , Somchai Neelaphaijit sehingga hari ini maseh belum dibawa ke pengadilan.

Di Mindanao , perjuangan pembebasan berdekad-dekad golongan Muslimin untuk mendapat hak memerintah sendiri maseh belum tercapai untuk menuntut kebebasan dan kemerdekaan untuk rakyatnya. Disebabkan ketiadaan atau sangat sedikit pembangunan yang dapat diujudkan , terdapat kemiskinan yang sangat meruncing di Mindanao . Penindasan dan kemiskinan telah memaksa ribuan untuk lari meninggalkan kampong mereka dan mencari perlindungan di Sabah.


Minoriti Muslim

Pasca 9/11 yang mencetuskan “peperangan ke atas teroris” yang dilancarkan oleh Administrasi Bush telah menyebabkan berlakuya perlanggaran hak asasi manusia yang serius ke atas orang Islam dan memburukkan Islam sebagai sebuah ugama yang dituduh mengajar keganasan. Ribuan kaum Muslimin telah ditahan dibawah Akta Patriot AS secara arbitrori tanpa bicara . Dalam banyak kes akses kepada peguam dan ahli keluarga dinafikan. Ramai yang dikenakan penyeksaan fizikal dan saikologikal.

Program bantuan kebajikan dan pendidikan dari organisasi kebajikan Muslim di Palestin dan negara lain telah ditutup. Penyeksaan , salahguna kuasa dan layanan yang buruk ke atas orang Islam yang ditahan di Guantanamo , di Abu Gharib di Iraq ,dan Afghanistan oleh tentera AS terus berjalan tanpa henti. Aktivis Muslim diculik oleh CIA , dibawa ke tempat yang tidak diketahui , diseksa dan dalam kes-kes tertentu dibunuh.

Mouin Rabbani , seorang editor penyumbang kepada Middle East Report yang berpejabat di Washington menerangkan :
“Pada pengamatan saya , sementara prasangka kepada orang Muslim telah meningkat , permusuhan kepada Islam sebagai suatu ugama juga meningkat dengan kadar yang sama….Kesan utama 9/11 adalah untuk menjadikan Islmophobia lebih merebak dan menjadikannya sebagai sikap arus perdana dan pandangan yang dihormati – ia telah melepaskan jin dari botolnya”

Daripada bertindak untuk menyekat merebaknya Islamophobia ini, kerajaan AS telah melancarkan “missi suci”nya untuk menjalankan “reformasi ke atas Islam”. Baru-baru ini US News and World Report telah melaporkan “ Dari pasukan operasi saikologi tentera dan operasi CIA untuk membiayai secara terbuka media dan badan-badan pemikir , Washington sedang menyalurkan jutaan dolar untuk suatu kempen bagi mempengaruhi bukan sahaja masyarakat Muslim tetapi Islam itu sendiri.”

Rakan-rakannya dalam projek untuk menjalankan gerakan subversif terhadap Islam ini ialah
“golongan negara-negara Muslim yang moderat , yayasan-yayasan dan kumpulan-kumpulan yang membawa agenda perubahan Islam”. Indonesia adalah salah satu sasaran untuk melancarkan projek subversif terhadap Islam. USAID (sebuah projek pembiayaan AS) secara rahsia membiayai 30 organisasi Islam dalam Negara itu , termasuk badan-dan pemikir yang menyebarkan faham “Islam liberal”.

Dengan segala masalah penafian hak asasi manusia yang dihadapi oleh jutaan umat Islam dan kezaliman dan penghinaan yang dialami mereka , tiada respon yang berkesan dari pemerintah-pemerintah Muslim dan OIC untuk menyelamatkan mangsa-mangsa itu. Tidak satu pun yang bersuara mengenai projek AS sedang menyerang Islam secara subversif ini, yang sebenarnya menyentuh teras keimanan kita.


Apa yang perlu kita lakukan ?

Ubat untuk memulihkan penyakit yang sedang menimpa masyarakat Islam ini terletak kepada memperkasakan masyarakat Islam. Matlamat ini perlu kepada perubahan berikut iaitu

1. Transformasi budaya dan nilai kehidupan umat berdasarkan ajaran Islam,

2. Merubah sistem politik Negara-negara umat Islam supaya lebih memberi ruang kepada partisipasi yang sihat untuk umat melaksanakan Islam secara menyeluruh dan bertanggungjawab kepada rakyat ,

3. Mengukuhkan autonomi dan intergriti institusi awam.

4. NGO Islam melaksanakan peranan mendidik dan memobilisasi masyarakat untuk menyegarkan semula kefahaman dan penghayatan Islam yang menyeluruh.


Sementara itu kepentingan sempit berdasarkan sempadan perlu diketepikan untuk memberi keutamaan kepada kepentingan umat Islam global dan membela mereka yang ditindas.Dinding yang memisah umat Islam secara fizikal dan mental perlu diruntuhkan. Perlu ada program dan gerakan yang menghubungkan umat Islam yang merentas sempadan dan membina perpaduan yang kuat.

Perlu diingatkan juga orang Islam hidup dalam dunia pelbagai kepercayaan , budaya , bahasa dan tardisi. Kita harus menghubung dan bekerjasama dengan umat bukan Islam dan tidak mengambil sikap mengasingkan diri dari mereka. Kita berkongsi perjuangan dengan mereka dalam hal keadilan sosial, memulihara alam sekitar dan bebas dari hegemoni kuasa Barat. Oleh itu kita perlu berkerjasama dengan mereka yang mempunyai kepercayaan yang berbeda tetapi bersetuju dengan kita dalam isu-isu kepentingan bersama.

Dari Retorik kepada Tindakan.

Sudah terlalu banyak persidangan dan rumusan yang dihasilkan dari pelbagai persidangan, seminar dan mu’tamar. Diskusi dan keputusan semada yang dihasilkan dari kalangan pemimpin negara ditingkat antarabangsa mahupun ditingkat lokal ternyata tidak menelurkan kesan yang diharapkan. Sudah banyak tulisan mengenai hal ehwal umat Islam semada yang diterbit , disiar atau tidak dan semada yang bersifat ilmiah mahupun semi ilmiah , dibentang dalam diskusi lokal mahupun dalam persidangan antarabangsa , namun terjemahannya dalam bentuk tindakan untuk merubah nasib umat maseh belum memenuhi cita-cita yang dihajatkan.

Sementara usaha membicarakan dan merumuskan pelbagai isu yang menyentuh persoalan umat Islam perlu diteruskan , akan tetapi yang sangat perlu dipertingkatkan ialah keupayaan menterjemahkan seluruh saranan dan ide serta agenda yang diketengahkan kepada tindakan . Sesungguhnya , sumber masa , wang dan tenaga yang diguna untuk pelbagai bentuk perbincangan akan menjadi sia-sia jika ia gagal menghasilkan impak yang didambakan untuk melihat situasi yang baru dikalangan umat Ilsam.

Tindakan kelompok Ulama”

Dalam usha membangkit suatu proses pemerkasaan umat , golongan ulamalah kelompok yang paling penting untuk dicergaskan. Tatkala menghadapi kekacauan , kezaliman penguasa dan kesesatan kefahaman yang didalangi oleh pelbagai kuasa dan gerakan musuh Islam dari golongan missionari Salibi dan Zionis Yahudi maka ulama’lah yang seharusnya digembeleng untuk menanggapi cabaran ini.

Namun golongan ulama kini bukan sahaja menjadi mangsa sasaran golongan kuffar akan tetapi juga golongan sekular-liberal dikalangan orang Islam sendiri. Lantaran itu ulama tidak boleh lagi bersikap pasif jika umat Islam hendak diselamatkan. Fungsi “nubuwwah” yang telah dimandatkan ke atas mereka perlu di terjemahkan dalam bentuk gerakerja nyata yang berwibawa dan berintegriti. Kami senaraikan secara rengkas perubahan dalam bentuk tindakan yang perlu dilaksanakan oleh ulama:

1.Keperluan menyusun wadah gerakan ulama yang berkesan.

2. Ulama perlu berperanan membela umat yang tertindas.

3.Ulama’ perlu meneliti dan mengambil pengajaran bagaimana gerakan kelompok lain berfungsi dan berstrategi.

4.Medan kerja ulama perlu melibatkan perjuangan mengangkat umat yang mundur.

5.Kemahiran dan kekuatan ilmu dikalangan ulama’ untuk bergerak dengan berkesan perlu dipertingkatkan.

6.Kepimpinan ulama perlu diperkasakan.

7.Ulama’ harus menampilkan dirinya sebagai terjemahan hidup dari pengajaran yang terkandung dalam AlQuran dan As-Sunnah.

8.Ulama harus mencetus transformasi dan Islah umat yang tulin untuk membangunkan masyarakat Islam yang unggul.

Tindakan kelompok intellektual dan professional

Kelompok intellektual juga adalah elemen dalam tubuh umat yang perlu digembeleng untuk memeastikan gerakan islah dan transfromasi umat dapat dijayakan. Sementara golongan pemikir dan cendiakiawan sering terpisah dari umat ditingkat bawahan , perlu diinsafi bahawa golongan ini terbeban dengan tanggungjawab yang sangat besar untuk mengguna keupyaan intellektual mereka untuk menyelesai kemelut umat. Kami perturunkan saranan mereka.

1.Melibatkan diri dalam kancah masalah umat dan membawa penyelesaian tuntas yang boleh mengeluarkan umat dari belengu krisis dalam pelbagai bidang.

2.Mencergaskan penulisan dan hasil karya yang yang bernas untuk mengembangkan pemikiran Islam yang sohih yang boleh memandu umat kepada kefahaman Islam yang tepat dan benar.

3.Menangani kekacauan pemikiran yang timbul dalam masyarakat dan secara serius membentengi umat dari kerosakan berfikir akibat dari faham-faham sesat seperti faham sekular , liberal dan plural.

4. Membantu untuk melaksanakan proses tarbiyyah umat terutama dikalangan generasi muda untuk menghadapi pelbagai tantangan yang sedang ditujukan kepada umat Islam.

5.Terlibat dalam mendedahkan segala serangan intelektual Barat kepada umum agar masyarakat Islam mampu menangkis dan menanggapi serangan tersebut dengan berkesan.

6.Terlibat dengan secara aktif meningkatkan kualiti berfikir dan kemampuan mengembangkan ilmu dikalangan masyarakat Islam dalam semua bidang.

7.Menjadi penggerak kepada budaya ilmu Islam yang berkesan dikalangan seluruh peringkat masyarakat.

Tindakan kelompok aktivis siasah

Golongan aktivis siasah sangat menyerlah dalam masyarakat kerana sangat tertonjol sebagai penyuara masalah rakyat. Namun dalam banyak hal kelompok ini maseh belum berkesan sebagai pengendali kebangkitan dan pengupayaan umat . Sikap elitis golongan ini sering akhirnya membuat masyarakat tidak yakin dengan kejujuran mereka membela rakyat. Oleh itu suatu proses memperkukuhkan sahsiah dan gerakerja memimpin umat perlu dibina dikalangan kelompok ini. Kami menyarankan hal berikut:

1.Meningkatkan daya kepimpinan yang menepati ciri-ciri sebagai pejuang nasib rakyat yang mengutamakan keperluan rakyat dimana sahaja mereka berfungsi.

2.Berperanan memperkukuhkan gerakan pendidikan politik yang benar dikalangan rakyat agar hak rakyat sentiasa dipertahankan.

3.Bergerak membangunkan organsisasi politik yang benar-benar mampu menampilkan calon pemimpin-pemimpin negara contoh dalam semua bidang.

4.Bekerja keras untuk menghasilkan gagasan pembangunan yang menepati kehendak Islam dan mendidik rakyat untuk mendokong citia-cita menegakkan wawasan Islam dalam pembangunan negara.

Tindakan kelompok aktivis sosial dan penggerak NGO.

Golongan aktivis masyarakat adalah elemen penting untuk melengkapi peranan golongan yang lain. Keupayaan mendidik dan memobilasi masyarakat dengan isu-isu yang relevan dengan keperluan masyarakat sangat penting dijayakan oleh kelompok ini. Jaringan mereka dengan rakyat tidak kurang pentingnya untuk membawa impak yang dikehendakki. Sementara mereka mungkin terdiri dari kalangan golongan berpendidikan tinggi dan professional , namun kekuatan mereka sangat bergantung dengan keupayaan mereka mendekati rakyat dari pelbagai latarbelakang mengikut isu yang dikendalikan. Kami menyarankan tindakan berikut kepada aktivis Islam :

1. Memperkuatkan status sosio-ekonomi umat Islam dengan pelbagai gerakerja yang mampu membina daya hidup mandiri.

2. Melaksanakan pendidik massa dalam pelbagai isu pembangunan yang membolehkan umat turut serta secara aktif dalam proses membuat keputusan diperingkat lokal mahupun nasional.

3. Mempertingkatkan kualiti pelatihan aktivis supaya keupayaan menggerakkan masyarakat akan menjadi lebih berkesan dan mencapai perubahan dan transformasi yang diharapkan.

4. Membina jaringan antara NGO Islam secara lebih tersusun agar mampu menghadapi tantangan yang diasak kepada umat agar berkesan dalam memberi respon kepada pelbagai isu yang dibangkitkan oleh mereka yang berniat jahat terhadap umat Islam.

KHATIMAH

Kami berpendapat bahawa saranan yang terungkap diatas maseh lagi belum cukup sempurna untuk menggerakkan daya tindak yang ampuh dikalangan pencinta Islam. Namun kami terus merasa optimis kerana maseh terus bernyala api semangat untuk merealisasikan suatu kebangkitan yang tulin dikalangan umat Islam diseluruh dunia. Dengan catatan bahawa cabaran yang cuba digambarkan maseh belum lengkap memberi kenyataan betapa umat Islam memerlukan suatu inqalab yang besar , kami juga berpendapat senario yang dibayangkan itu sudah memada untuk kita memacu suatu usaha yang segera dan pantas. Hanya dengan ini kita akan dapat memenuhi ciri yang diungkap Allah S.W.T. dalam Al Fath : 8-10

“Sesungguhnya kami mengutuskan kamu (Muhammad) sebagai saksi pembawa berita gembira dan pemberi peringatan , supaya kamu sekalian beriman kepada Allah dan Rasul-Nya , menguatkan agama-Nya , membesarkanNya. Dan bertasbih kepadaNya diwaktu pagi dan petang. Bahawsanya orang-orang yang berjanji setia kepada kamu sesungguhnya mereka berjanji setia kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan mereka , maka barang siapa yang melanggar janjinya nescaya (akibat dari ia melanggar janji itu) , akan menimpa dirinya sendiri dan barang siapa yang menepati janjinya kepada Allah maka Allah akan memberinya pahala yang besar"

Thursday, October 30, 2008

Centre For International Muslim Minority Affairs (CIMMA) lancar misi ke Mindanao

Wan Nordin Wan Yaacob
Wed Oct 15, 08 2:27:21 pm MYT

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Hrkh) - Centre For Internationals Muslim Minority Affairs (CIMMA) akan melancarkan misi berupa tinjauan ke Mindanao, Filipina pada 19 Oktober ini.

Menurut Jurucakapnya, Mohd Azmi Abdul Hamid misi yang akan bermula 19 Oktober ini pertamanya akan membuat tinjauan terhadap kemelut umat Islam di Mindanao yang kini kurang mendapat perhatian masyarakat dunia.

Ujarnya lagi, paling membimbangkan November ini, tentera pengaman Malaysia akan keluar dari Mindanao, kata Azmi yang juga Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) ketika dihubungi hari ini.

Menurut Azmi, pihaknya akan membuat tinjauan nasib uamt Islam di Mindanao yang didiskriminasi oleh kerajaan Filipina pimpinan Gloria Macapagal Aroyyo sejak bertahun lamanya.

Baginya, perjuangan masyarakat Islam di Mindanao untuk mendapatkan kebebasan wilayah Islam tidak pernah mendapat perhatian pertubuhan dunia terutamanya Persidangan Negara-negara Islam (OIC) ataupun Asean.

Malah isu kekejaman tentera Filipina ke atas umat Islam di Mindanao tidak mendapat pembelaan sewajarnya, katanya.

Misi ini katanya, akan berterusan dengan misi-misi yang berikutnya yang mungkin akan berbentuk kemanusiaan.

"Kita datang untuk misi pertama ini hanya untuk membuat tinjauan dan mendapatkan fakta mengenai isu di sana, dan misi akan diteruskan lagi selepas ini bagi tujuan misi kemanusiaan, " katanya.

Namun katanya, CIMMA tidak mempunyai dana dan sukarelawan yang cukup untuk melanjutkan misi tersebut, justeru CIMMA meminta bantuan rakyat Malaysia yang prihatin bagi membantu melicinkan misi ini. Sehubungan itu, kepada sesiapa yang mahu menyumbang bagi melancarkan misi ini bolehlah menghulurkan bantuan kepada akaun CIMB (07300002468528) . - mks