Netanyahu ikrar luaskan penempatan Yahudi
BAITULMAQDIS 27 Jan. - Calon pilihan untuk memenangi pilihan raya Israel bulan depan, Benjamin Netanyahu semalam berikrar beliau akan meluaskan kawasan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat jika beliau dipilih menjadi Perdana Menteri.
Pendirian pemimpin Parti Likud tersebut dijangka mencetuskan pertelagahan dengan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama nanti.
Netanyahu yang sudah pun mengkritik rundingan damai Israel-Palestin tajaan AS berkata, beliau akan membenarkan kawasan penempatan diperluaskan bagi menampung "pertumbuhan semula jadi", bercanggah dengan tuntutan pelan damai anjuran antarabangsa yang menjadi asas rundingan damai.
"Pertumbuhan semula jadi" merujuk kepada pembinaan perumahan baru bagi menampung keluarga yang semakin besar di kalangan pendatang Yahudi di Israel.
Seruan pertama AS supaya dibekukan pembinaan kawasan penempatan Yahudi termasuk untuk memenuhi "pertumbuhan semula jadi" terkandung dalam dokumen yang disediakan oleh duta khas AS ke Asia Barat, George Mitchell pada 2001.
Kenyataan Netanyahu itu disiarkan dua hari sebelum Mitchell dijadual berlepas ke rantau itu bagi memulakan satu lagi misi sebagai duta damai AS.
Israel dan AS kelihatan bakal berbalah kerana tinjauan pendapat umum menunjukkan Netanyahu berpeluang terbaik untuk memenangi pilihan raya Israel dalam masa dua minggu lagi.
Mitchell dijangka menemui para pemimpin Israel termasuk Netanyahu selepas beliau tiba esok.
Jurucakap Jabatan Negara, Robert A. Wood berkata, tujuan lawatan Mitchell untuk berunding mengenai pelbagai isu termasuk menyekat penyeludupan senjata ke Genting Gaza oleh Hamas.
Mitchell tidak akan menemui para pemimpin Hamas, katanya.
Dasar AS menyokong penubuhan sebuah negara Palestin di Tebing Barat dan Gaza bersebelahan Israel.
Namun Netanyahu yang pernah menjadi Perdana Menteri Israel pada 1996-1999 sentiasa menentang penyerahan wilayah di Tebing Barat dengan alasan Israel perlu menguasainya bagi tujuan keselamatan. - AP
No comments:
Post a Comment