Tuesday, November 11, 2008

Siri Pemahaman 2 - Senario Umat & Cabaran Semasa

SEJARAH YANG PANJANG

Catatan perjuangan Islam bermula secara sistematis sejak para penulis seerah perjuangan Rasulullah s.a.w dipena dalam pelbagai tulisan. Hasilnya kita dapat memahami episod-episod perjuangan Baginda menghadapi segala mehnah dan fitnah yang panjang bukan sahaja dari setiap langkah Baginda tetapi juga dari gambaran persekitaran dan kondisi yang mendepani Baginda.Baginda menghadapi kelompok musyrikin dari pelbagai aliran sembahan , kelompok simpatisan yang menghormati misi dan kemuliaan akhlak baginda , kumpulan munafiqin yang berkonspirasi ,anggota murtaddin yang terpedaya , penguasa empayar dan golongan elit konglomerat yang berkepentingan .

Namun pada saat dan keadaan serba mencabar itu Baginda membina kekuatan dalam tekad untuk membangun sebuah tatakehidupan berupa tamadun yang unggul berpaksikan kalimah syahadah . Sementara itu Baginda tercatat sebagai insan paling berjaya membangun sebuah komuniti dan wilayah serba manusiawi yang terpandu oleh sebuah sistem hidup Illahi yang paling murni. Bukti keberhasilan da’wah dan jihad Baginda terlihat dalam catatan perkembangan Islam diseluruh pelusuk dunia.

Namun perseteruan terhadap Islam oleh golongan musyrikun dan munafiqun dari kalangan kelompok Nasaro dan Yahudi adalah abadi. Makar untuk meruntuhkan sendi dan benteng kekuatan umat Islam semada ekonomi , politik , ketenteraan , sosial , kebudayaan , pendidikan , dilancarkan tanpa henti , lewat gerakan sekularisasi , kristianisasi , imperialisasi , al ghazwatul fikr dan zionisme dari abad ke abad.

Natijahnya, umat Islam tidak henti-henti terpedaya , terperangkap , terheret dan ternoda akibat pelbagai serangan dari pelbagai sudut. Kekuatan umat Islam luntur sehingga menjadi mangsa kepada keserakahan golongan imperialis Barat-Kristian-Yahudi.

Titik kelenturan mulai jelas terzohir pada abad ke 20 apabila pada 1924 pemerintahan Kekhalifahan Usmaniyy dileburkan oleh gerakan Salibi-Yahudi yang memperkudakan Mustafa Kemal Pashe untuk menghapuskan Kesultanan Hamid ke II di Instanbul , Turki yang menanda berakhirnya sistem Kekhalifahan Islam dalam sejarah umat pada abad ke 20.

Ditambah tenat lagi Mustaffa Kamal benar-benar menuruti kehendak Barat dengan melancarkan pelbagai perubahan drastik dalam tempuh yang singkat iaitu menghapuskan identiti Islam (bahasa, pakaian), menghapuskan undang-undang keluarga Islam, menggugurkan peruntukan perlembagaan bahawa Islam adalah agama resmi negara, menutup sekolah-sekolah Islam, menukarkan kalender Hijrah kepada kalender Gregorian, menukar tulisan Arab kepada Rumi, menukar azan dan bacaan Quran kepada bahasa Turki.


Maka realiti yang sedang dilihatkan sekarang dikalangan umat Islam yang serba lemah, mundur, tertindas dan sedang dimanipulasi di mana-mana adalah buah dari sebuah sejarah keruntuhan umat Islam yang panjang. Kelesuan dan ketinggalan dalam banyak bidang disamping keserakahan musuh Islam untuk membaham apa sahaja yang terbaki dikalangan umat kini sedang menjadi sebuah wajah yang tidak boleh disembunyi lagi.


Walaupun begitu keadaan tidak serba gelap semuanya kerana sudah berputik suatu intifadhah dan inqilab yang menunjukkan cahaya harapan. Kita harus bekerja menangkap kesempatan ini untuk membina semula sebuah keunggulan umat disetiap penjuru alam. Kebuasan tamadun moden terserlah kekacauannya dan sedang mencari arah untuk menyelamatkan manusia. Fitrah insan sedang mula menggamit manusia untuk balik kepada kebenaran Illahi.

RUMUSAN YANG MERUNSINGKAN.

Sebagai rentetan dari sejarah sistem pemerintahan Islam yang telah diruntuhkan hasil dari konspirasi ya ng panjang, kegemilangan Islam dan keunggulan umatnya menghadapi zaman mendung. Bukan sahaja umat menjadi makanan mentah yang dilapah oleh musuh Islam dikalangan kuasa Kristian-Yahudi Barat, akan tetapi Negara-negara umat Islam satu-persatu dijajah.

Ketika keadaan terjajah itulah seluruh kesan agenda imperialisme Barat beroperasi penuh yang mengakibatkan jatidiri dan kemandirian warga Muslim di negara-negara umat Islam mulai terhakis. Lebih parah dari pencerobohan melalui kekuatan ketenteraan, Negara-negara penjajah menguasai wilayah umat Islam, umat Islam juga telah melalui penjajahan budaya dan pemikiran yang sangat parah.

Walhasil warga Muslim telah melalui proses penghakisan keyakinan diri terhadap Islam sedikit demi sedikit. Saluran yang paling berkesan untuk meninggalkan bekas penjajah yang berpanjangan terhadap orang Islam, walaupun mereka dijangka akan dimerdekakan pada satu masa, ialah melalui sistem pendidkan penjajah atas nama membawa kemodenan.

Pemikiran dan keyakinan umat terhadap Islam telah dihapuskan melalui sebuah sistem pendidikan yang sangat menekankan persoalan ilmu keduniaan yang terpisah dari asas agama. Dalam ertikata lain umat Islam telah melalui suatu proses “pencucian otak” yang memberi kesan yang lama kepada cara berfikir dan bersikap dalam hal kehidupan seharian umat.

Sementara itu politik umat juga telah melalui perubahan yang besar. Kepentingan dan amanah rakyat yang sepatutnya menjadi tanggungjawab utama telah diabaikan oleh pemerintah di negara umat Islam sendiri.

Keadilan dan kesaksamaan menjadi asing dari pemerintah yang berkuasa. Kewajipan menegakkan sistem Islam bagi umat Islam ternyata telah digugurkan oleh pemerintah Islam sendiri. Sebagai akibat, Umat Islam diperintah oleh pemimipin-pemimpin yang diktator dan sekular.

Natijah yang lebih parah ialah umat Islam menghadapi penindasan ekonomi-politik dari pemerintah mereka sendiri. Bukan sahaja status ekonomi dan sosial umat Islam banyak terjejas kerana pemimpin-pemimpin yang telah menjalankan sistem pemerintahan yang bersifat kuku besi, mengamalkan pendekatan kronisme dan nepotisme, membolot kekayaan Negara , merestui rasuah dan kolusi, malah hak umat Islam untuk menuntut agar syariat Islam ditegakkan juga ternafi.

KEADAAN MUSLIMIN SELURUH DUNIA

Umat Islam kini sudah mencecah ke jumlah 1,565.28 juta (23.52%) berbanding jumlah penduduk dunia seramai 6,313.78 juta (sehingga 2005). Kadar pertumbuhan kaum Muslimin di anggar 2.9% setiap tahun namun jika kita mengambil kadar pertumbuhan 2% setahun, umat Islam akan mencecah ke jumlah 1,596.59 bilion pada 2006. Secara pecahan populasi umat Islam mengikut benua adalah seperti berikut:

POPULASI MUSLIMIN DUNIA (2005)
Sumber Umum

Benua Populasi Muslim % Muslim

Benua Populasi(juta) Muslim(juta) % Muslim

Afrika 906 461.77 48.10 %
Asia 3921 1043.71 26.39 %
Eropah 727.40 51.19 7.04 %
Amerika Utara 329 6.62 2.05 %
Amerika Selatan 559 1.64 0.30 %
Oceania 33 0.35 1.09 %

Jumlah 6313.78 1565.28 23.52 %


Menganalisa keadaan umat Islam seluruh dunia perlu dilihat dari dua kategori iaitu : umat Islam di Negara yang majoriti Islam dan umat Islam minoriti di Negara bukan Islam

No comments: