Thursday, November 6, 2008

Sengsara Islam Mindanao mengharapkan bantuan segera negara jiran

Wan Nordin Wan Yaacob
Wed Nov 05, 08 11:06:15 am MYT


KUALA LUMPUR, 5 Nov (Hrkh) - Nasib umat Islam Mindanao yang menjadi golongan minoriti di Filipina kini dalam keadaan yang amat menyedihkan berikutan tekanan dari kerajaan Filipina melalui tenteranya.

Umat Islam Mindanao sejak bertahun lama didiskriminasi oleh kerajaan Filipina pimpinan Gloria Macapagal Aroyyo hingga menyebabkan mereka menjadi pelarian di bumi sendiri.

Mutakhir ini selepas perundingan antara kerajaan dengan kumpulan pemisah Moro Islamic Liberation Front (MILF) gagal, keadaan mereka lebih parah.

Khemah-khemah pelarian yang menempatkan lebih 500,000 pelarian sangat memerlukan bantuan khususnya dari Malaysia sebagai jiran yang berdekatan.

Bantuan yang diperlukan bukan setakat bantuan kebendaan semata-mata (makanan, ubat-ubatan dan sebagainya), tetapi dari segi suntikan semangat bagi memulihkan trauma yang menimpa mereka selama ini.

Mengikut statistik terkini dari agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), lebih dari 500,000 orang umat Islam Mindanao menjadi pelarian atau "internally displaced people" disebabkan oleh pertempuran di antara tentera Filipina dan MILF.

Mereka ini tinggal di khemah-khemah, dewan-dewan sekolah dan di mana sahaja tempat yang boleh dijadikan berteduh dan perlindungan dari panas dan hujan.

Sebelum ini, Centre For Internationals Muslim Minority Affairs (CIMMA) yang telah melancarkan misi berupa tinjauan ke Mindanao, Filipina pada 19 Oktober lalu akan mengadakan misi berikutnya menjelang Hari Raya Aidiladha.
Jurucakap CIMMA, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, paling membimbangkan dalam bulan November ini, tentera pengaman Malaysia akan keluar dari Mindanao.

Menurut Azmi, pihaknya akan membuat tinjauan nasib uamt Islam di Mindanao yang didiskriminasi oleh kerajaan Filipina pimpinan Gloria Macapagal Aroyyo sejak bertahun lamanya.

Baginya, perjuangan masyarakat Islam di Mindanao untuk mendapatkan kebebasan wilayah Islam tidak pernah mendapat perhatian pertubuhan dunia terutamanya Persidangan Negara-negara Islam (OIC) ataupun Asean.

Malah isu kekejaman tentera Filipina ke atas umat Islam di Mindanao tidak mendapat pembelaan sewajarnya, katanya.

Justeru, belas simpati umat Islam di Malaysia amatlah dialu-alukan bagi menghulurkan bantuan kepada pelarian ini dalam meringankan kesengsaraan yang dihadapi mereka.

Sehubungan itu, kepada sesiapa yang mahu menyumbang bagi melancarkan misi ini bolehlah menghulurkan bantuan kepada akaun CIMB (07300002468528) Mohd Azmi Abdul Hamid atau MBB (155014995886) Suhaire Sulaiman. - mks._

No comments: