SETELAH 20 tahun lalu menunaikan umrah di Mekah, 10 tahun kemudiannya mencari rezeki di Singapura, menyusup masuk ke Golok, Thailand atas urusan kerja dan bercuti ke Medan, Sumatera terasa amat janggal dan kekok ketika diminta untuk bertugas ke luar negara, apatah lagi pertama kali menyertai misi bantuan kemanusiaan Yayasan Amal Malaysia (AMAL) ke Mindanao, Filipina.
Harakah meminta saya untuk turut serta bersama 12 anggota rombongan bantuan kemanusiaan AMAL yang diketuai oleh Presidennya Husin Ismail untuk melakukan Qurban dan Aqiqah di sana selama 6 hari bermula 7 sehingga 12 Disember sekaligus menyampaikan sumbangan dana dan memberi rawatan kesihatan percuma kepada pelarian perang Mindanao yang kini sudah mencecah 600,000 orang.
Ringkasnya, mereka menjadi mangsa akibat peperangan menuntut Wilayah Islam daripada kerajaan Filipina. Perjuangan ini dimulai oleh mujahidin daripada Bangsamoro yang menamakan diri mereka Moro Islamic Liberation Front (MILF) yang mengangkat senjata memerangi kerajaan kerana kegagalan pemerintah memberi autonomi kepada wilayah tersebut.
Bukan mudah untuk menolak saat akhir kerana ianya merupakan tugasan pertama setelah berpindah jawatan selaku Penolong Pengarang Harakahdaily 1 Disember lalu, apatah lagi perjalanan saya telah dibiayai sepenuhnya oleh Harakah sendiri.
Begitu berat ujian dan dilemanya saya ketika itu kerana dua hari sebelum berangkat, ibu dikasihi pula berada dalam keadaan uzur dan terpaksa dibawa ke klinik oleh penduduk kampung.
"Kalau untuk jalan Allah, mak redha...pergilah," sebaris kata ibu itu, cukup untuk memercikkan air mata.
Ujian makin perit apabila putera sulung saya pula Fariz Aqhar, 6 dalam keadaan demam teruk dan muntah-muntah. Seingat saya kali terakhir dia keadaan begitu, sewaktu tahun 2006 dan dimasukkan ke hospital selama lima hari.
Jangan bimbang saya ada dan berserah pada Allah, kata isteri mententeramkan dada saya.
7 DISEMBER 2008 - Sehari sebelum Hari Raya Haji
Betapa goncangnya hati untuk melangkah pergi namun, ujian ke jalan Allah saya sedar penuh liku. Ketika para penyelamat sedang bertungkus-lumus mencari mangsa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Hulu Kelang, Selangor kira-kira 4 kilometer daripada rumah saya, 7 Disember jam 3.00 pagi saya pula menuju ke Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang untuk berada 3 jam lebih awal walaupun waktu berlepas kapal terbang hanyalah jam 7.00 pagi.
Ujian liku seterusnya bermula apabila rombongan AMAL itu terbahagi kepada dua kumpulan yang mana salah satu daripadanya perlu transit terlebih dahulu ke Singapura sebelum terus ke Manila, Mindanao.
Dan seperti dijangka, saya 'terpilih' dalam kumpulan itu bersama dengan Dr Ahmad daripada Persatuan Perubatan Islam Ibnu Sina (Papisma) dan aktivis sepenuh masa yang juga daripada Ketua Penerangan Teras Pengupayaan Melayu Negeri Sembilan (Teras) Suhaire Sulaiman.
Kami bertiga tiba di Singapura jam 8.30 pagi dan 'terkandas' sehingga jam 12.00 tengah hari untuk berlepas ke Manila pula. Dalam kebosanan kami mencari tempat senggang yang selesa untuk bersembang dan Dr Ahmad mencadangkan sebuah cafe berhampiran di dalam Changi Airport, Singapura tersebut.
Selama empat jam saya sungguh senang dengan kedua-dua 'watak' yang baru dikenali ini.Berkongsi pengalaman dan bertukar-tukar pendapat. Bezanya saya dengan mereka berdua hanya satu, ditaja dan dibiayai oleh Harakah manakala Dr. Ahmad dan Suhaire menanggung perbelanjaan mereka sendiri.
Dr Ahmad seorang pakar ENT (Ear Nose and Throat) yang dikira berkemampuan, menceritakan bahawa beliau telah mengikuti beberapa misi kemanusiaan antaranya di Acheh dan ini merupakan antara sumbangannya kepada umat Islam yang terpencil di luar selain membantu yang sedia ada dalam negara.
Menariknya, beliau sanggup meninggalkan cuti santainya bersama keluarga tambahan pula menyambut Aidiladha di rantau orang untuk kerja sukarelawan.
Katanya setiap kali berada di luar negara untuk misi kemanusiaan, beliau akan meninggalkan wasiat kepada isterinya antaranya berbunyi :"Redhalah..jenazah abang hendaklah ditanam di mana sahaja abang meninggal...dan tidak perlu bawa balik.."
Kagum mendengarnya, kerana beliau sudah bersedia untuk menghadapi kemungkinan mati di jalan Allah.
Watak Suhaire juga tambah menarik apabila sebagai orang kampung, mempunyai inisiatif sendiri mengutip dana daripada masjid-masjid dan orang perorangan untuk menyampaikan sumbangan zakat ataupun Qurban Aqiqah untuk umat Islam di Mindanao sehingga berjaya mengumpulkan sejumlah RM8,000!
Beliau juga membawa dua buah beg, salah satu daripadanya dipenuhi oleh pakaian yang terpakai yang disumbang penduduk kampungnya dan beberapa bungkuan gula-gula untuk anak-anak yatim di sana. Wah...sungguh bersemangat!
Bagasi 'hilang' di Airport
Dalam pada itu teringat pula betapa ramai rakan yang memarahi saya kerana lewat memberitahu untuk ke Mindanao supaya mereka juga dapat menyumbang sama. Maklumlah saya pergi dalam 'minit-minit akhir', itupun sempat juga saya 'announce' di surau Harakah dan berjaya mengumpulkan 'derma kilat' sejumlah RM230.00 sejurus selepas solat zuhur dan Ketua Pengarang Kumpulan Harakah Ahmad Lutfi Othman juga turut menyampaikan wang tunai RM3,000 hasil sumbangan orang ramai ke Tabung Harakahdaily Dot Com.
Malu juga saya 'berkawan' dengan Dr. Ahmad dan Suhaire kerana datang dengan tujuan yang ikhlas dan atas belanja sendiri sedangkan saya kerana memenuhi tuntutan tugas dan dan dibiayai. Insaf saya seketika.
Tepat jam, 12.00 hari kami pun ke balai berlepas untuk check in. Rupanya timbul pula masalah terknikal, dimana pihak berkuasa Changi mahukan secara terperinci butiran tiket kami pergi dan balik. Namun butiran itu ada pada Husin yang sudah pun berlepas bersama kumpulan satu lagi ke Manila.
Mahu tidak mahu, kami diminta ke kaunter Tambang Murah untuk mendapat butiran kami dan untuk ke sana kami terpaksa menaiki 'train-transit' seperti Monorel di Kuala Lumpur. Aduhai...saya sudah hampir pitam kerana tidak tidur sejak malam semalam.
"Ahmad, Suhaire Sulaiman, Muhammad Azamin..." nama kami bertiga berkumandang di Changi Airport kerana Kapal Terbang Philipines Airlines bakal berlepas dan masih menunggu kami.
Kami di 'escort' segera oleh seorang pegawai untuk memudahkan pemeriksaan dan terus ke perut kapal.
Selesai satu penyakit, getus hati saya. Dalam kapal saya tidak duduk sekali. 'Seat 17-B' menempatkan saya di tengah antara seorang lelaki Filipina dan seorang lelaki Eropah berdasarkan rupa mereka, dan saya tidak berupaya untuk berkenalan kerana keletihan yang amat sangat dan hampir pitam...dan terlena ketika kapal terbang sudah berada di ruang udara.
Kira-kira satu jam perjalanan, saya terasa amat lapar namun makanan yang disediakan amat diragui. Terpaksa dijamah juga seketul roti yang disedaikan untuk melapik perut saya daripada terpaksa menjamah nasi ayam berkuah...yang menyebabkan kembang anak tekak!
'Mabuhay' laung pramugari genit nan jelita yang bermakna 'Selamat Datang' sewaktu kami tiba di Nino Aquino International Airport Manila jam 4.30 petang. Kami bertiga merasa lega walaupun penerbangan tiga jam tadi menempuh awan mendung sehingga beberapa kali gegaran kuat dirasai di dalam kokpit.
Dengan tidak semana-mena sekali lagi nama kami bertiga kedengaran di corong pembesar suara Lapangan Terbang itu.Separuh tagalog, separuh melayu."Azamin...!" Apalagilah musibahnya, soal saya. Seorang pegawai dikenali sebagai James Malugun merapati kami lalu membawa kami ke satu kaunter sejurus selepas pasport kami dicop.
Katanya beg kami bertiga telah 'hilang' dan menjelaskan bagasi tersebut telah dimuatkan di dalam kapal terbang yang berlainan dengan yang kami naiki. Nyarislah kapal terbang itu juga tiba ke destinasi sama, lalu kami diminta mengisi borang dan mengikut arahan-arahan tertentu.Lebih syahdu, untuk mengambil bagasi kami itu, terpaksa menaiki sebuah van untuk ke sebuah terminal tambang murah kira-kira 4 kilometer daripada lapangan terbang yang kami tiba.
"Tak pelah...biarlah beg kita tu, yang penting kita solat dulu," kata Dr Ahmad mengingatkan saya dan Suhaire. Saya dengan pantas bertanya pegawai tersebut "Where's prayer room?" (mana tempat sembahyang) "No!" kata pegawai itu.
Solat di kali lima Lapangan Terbang Manila
"Tak pe Azamin, kita ambil wuduk dulu nanti kita cari tempat yang sesuai," jelas Dr Ahmad lagi akhirnya menunai solat jamak takhir di kaki lima Lapangan Terbang Manila itu sambil diperhatikan oleh ramai orang yang lalu-lalang kerana merasa aneh dengan perbuatan kami itu. Kami perlu solat segera kerana jam 5.30 petang suasana di Manila sudah di ambang senja, melewati waktu Maghrib.
Setelah selesai mendapatkan bagasi kami terus ke tempat penginapan di Baclaran, Manila yang jauhnya setengah jam perjalanan daripada lapangan terbang. Baclaran, sebuah kawasan terpencil di dalam bandar Manila yang dihuni oleh penduduk Islam. Mudah untuk makan dan menginap.
Di situ, Baclaran Lodge kami bertemu semula dengan Husin dan ramai ahli rombongan lagi.
Rupanya Azhan Atan, Juara Akademi Nasyid TV9 juga ada.Beliau mewakili Unit Amal Johor Begitu juga dengan bekas wakil rakyat PAS ADUN Belanja Perak yang menang pilihan raya tahun 1999, Kapten (B) Dr Faizol Fadzil Mohamed.
Jam sudah menunjukkan jam 7.30 malam. Perut terlalu keroncong, kami pun terus ke kedai menjamu selera, nasi 'padi huma' berlaukkan ayam dan sup. Supnya sungguh sedap daripada Tomyam manakala ayam di sini dipanggil 'Manok'. Jumlah dibayar untuk 9 orang makan hanyalah 420 Peso (matawang Filipina), kira-kira RM35.00 sahaja!
"Azamin jangan lupa, esok subuh subuh jam 4.30 pagi manakala solat Aidiladha jam 7.00 pagi. Lepas solat kita akan naik 'flight' ke Cotabato,Mindanao selama sejam. Tiba di sana kita akan lakukan penyembelihan di sebelah petang," kata Husin kepada saya dan rakan-rakan yang lain.
Ketika berada di bilik penginapan, salah seorang rakan yang juga menjadi jurubahasa dan penunjuk jalan kami di sini, Anwar Abdullah sedang khusyuk menonton tv 'Unang Balita' yang bermaksud 'Fisrt News' dalam bahasa Tagalog. Beliau adalah Bangsamoro dan menetap di Marawi City, tempat yang bakal kami lawati dua hari lagi. Anwar merupakan mahasiswa jurusan Ilmu Wahyu Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Gombak.
"Berita apa itu?," tanya saya berbahasa Inggeris dengannya. "Ini berita tentang kemenangan wira kami, Paciyaou dari Filipina yang menjadi juara tinju dunia. Menang hari ni di Las Vegas menewaskan peninju Mexico.
"Sejak pertarungan tinju itu yang turut di tonton Arroyo Macapagal dan juga Mike Tyson, jenayah di Filipina berkurangan secara mendadak. Semua tertumpu dengan perlawanan," kata Anwar berbahasa Inggeris sepatah-sepatah sehingga saya pun sudah tidak mengerti butirannya kerana tersengguk-senguk mengantuk melintasi jam 1 pagi.
Sebelum tidur, sempat juga saya mengirimkan sistem pesanan ringkas (sms) kepada sahabat di Kuala Lumpur Mohd Khalil untuk menjadikannya berita sekaligus disiarkan di dalam Harakahdaily.net. Ya memang ada kafe siber di sini namun dinasihatkan tidak menggunakan kemudahan itu di waktu malam atas faktor keselamatan.
8 DISEMBER 2008 - Aidiladha
Kami solat Aidiladha jam 7.00 pagi di Lorong Bacralan berhampiran sebuah masjid yang tidak dapat menampung ratusan penduduk Islam di situ. Masjidnya adalah sebuah bangunan seperti rumah kedai. Tiada masjid sebiji-sebiji di sini.
Sekitar kawasan itu jauh lebih 'kronik' pemandangannya jika dibandingkan dengan Jalan Alor, Lorong Haji Taib, Petaling Street atau Chow Kit, namun tuntutan agama diteruskan juga.Tanpa lengah selepas selesai mendengar khutbah kami bersiap-siap untuk ke Cotabato Airport.
Sedang saya berbual-bual tentang album sulung Azhan dan penubuhan Fan Clubnya, tiba-tiba Husin memanggil saya ke kaunter tempat bagasi di timbang dan dimasukkan ke kabin kapal terbang. Pihak Imigresen Filipina meminta sebahagian barang-barang isteri Husin, Rosemunainah yang turut serta dalam misi itu, dipindahkan ke dalam beg saya. Ini untuk mencukupkan kuota timbangan.
"Fuh...apa punya bala..." bisik hati saya yang mula bosan dengan karenah pihak berkuasa di situ yang tak sudah-sudah. Tidak cukup dengan itu kami semua diminta membayar harga timbangan beg-beg anggota AMAL kira-kira 2,000 Peso (RM150) dan dipaksa menanggalkan kasut untuk pemeriksaan.
Kata bekas tentera Tajuddin yang turut serta dan banyak pengalaman, pemeriksaan sangat ketat khususnya jika kita ke kawasan yang mempunyai risiko tinggi dan berlaku konflik seperti di Mindanao. Lebih mendebarkan salah seorang anggota AMAL membawa sebilah parang daripada Malaysia.
Bila ditanya pegawai Imigresen, Ismail Amar dari Unit Amal Johor menjelaskan yang parang itu untuk tujuan sembelihan. "Slaughter-slaughter, Qurban-qurban." Nasib baiklah dilepaskan.
Perjalanan sejam, dirasakan cukup cepat tahkala kapten kapal mengumumkan pendaratan ke Cotabato, Airport jam 12.00 tengah hari. Ketika tayar kapal terbang berjaya mencecah lapangan, kedengaran para penumpang yang rata-ratanya asal penduduk Mindanao bertepuk tangan dan bersorak sebagai tanda kapal terbang berjaya 'landing' dengan selamatnya.
Pernahkah yang tak berjayakah 'landing' sebelum ini? Soal hati saya pula sambil memerhati di persekitaran yang cukup asing bagi saya. Kiri-kanan dan dari pelbagai sudut kawasan lapangan terbang itu dipenuhi oleh tentera dan polis Filipina yang berbaju celoreng dan siap bersenjata M16 dan 'short gun'.
"Insya-Allah selamat," tepuk seorang yang tidak dikenali ke bahu saya sambil tersenyum. Rupanya dia sudah lama menunggu kedatangan pasukan misi AMAL. Namanya Imran Abdullah dan merupakan seorang aktivis yang aktif menjalankan kerja-kerja amal dalam Bangsamoro Development Agency (BDA).
BDA ini adalah sebuah badan berkanun yang ditubuh untuk memberi bantuan dan perhatian kepada mangsa pelarian perang Bangsamoro yang semakin ramai akibat peperangan yang tercetus antara pejuang mujahidin daripada tentera Filipina sejak Ogos 2008 lalu.
Sembelih Qurban pertama kali...alamak!
Perang tercetus, kerana kerjaan Filipina membatalkan perjanjian damai Wilayah Islam Mindanao pada bulan itu dan menafikan hak umat Islam untuk mendapatkan kemerdekaan di wilayah tersebut.
Ironi dan uniknya walaupun wujud sengketa di antara MILF dan kerajaan namun kedua-dua pihak bersetuju menubuhkan BDA untuk memastikan nasib dan kelangsungan hidup umat Islam Mindanao khususnya Bangsamoro terjamin serta selamat akibat daripada perang itu, jelas Imran serba ringkas kepada saya sewaktu kami dalam perjalanan menuju ke tempat penginapan.
Setelah melepasi lebih 10 sekatan jalan raya oleh tentera menuju tempat penginapan di Cotabato, kami menguruskan diri masing-masing dengan solat, makan dan melunjur kaki seketika kemudian memulakan tugas penyembelihannya kira-kira jam 3.00 petang. Kami dipecahkan kepada tiga kumpulan memandangkan tempat sembelihan lembu dan kambing berada di puluhan lokasi yang berbeza.
Saya menaiki pacuan empat roda jenis Mitsubishi yang dipandu penduduk tempatan Nasir bersama Husin, Dr Faizol, Siti Fatimatuz Zahra (pelajar undang-undang), Rosemunainah dan Norzira Mamat (mewakili Pasti Terengganu) menyelusuri kawasan kampung yang sesetengahnya saling tak tumpah seperti perkampungan orang asli di negara sendiri.
Lokasi pertama, di balai Moro Youth Religious Organization Inc (MYROi) di kampung Sipinuh Cotabato City di mana Husin melakukan sembelihan yang pertama dengan diikuti oleh imam yang hanya dikenali sebagai Ahmad. Di situ dua ekor lembu dikorbankan. Kami berangkat pula ke sebuah kampung yang lain dan meninggalkan kerja melapah dan mengagihkan daging lembu kepada penduduk di situ.
Kami tiba di Balikatan jam 4.00 petang untuk menyembelih dua ekor lagi lembu. Selesai sahaja menyembelih seekor,Husin menyerahkan parang kepada saya lalu bersuara:'Nah Azamin, belajar sembelih seekor.... Ambil peluang setahun sekali ini,"
Berdegup laju jantung saya laksana pengantin baru bernikah. Cuba 'control macho' saya menyahut cabaran Husin, walaupun dalam hati gundah-gulana. Mana taknya, kambing pun tak pernah inikan pula lembu. Ayam dan ikan banyaklah...dalam hati saya berkata-kata.
Kira-kira 15 orang penduduk kampung Balikatan memerhati sahaja langkah saya yang tak tentu arah dan dua daripada mereka telah 'menjatuhkan' lembu di kaki jalan untuk saya menyempurnakan korban. Husin memberikan tujuh nama kepada saya sebagai syarat bahawa saya mewakili mereka.
Lembu berwana putih dan gebu itu sudah berada di kaki lutut saya dan nampaknya 'redha' dan jinak. Tiada ada aksi meronta atau naik minyak.Hanya diam menunggu saat saya menujah parang ke lehernya.
"Bismillahhi Allhuakbar!" saya bertempik lalu 'syrrappp'...satu hirisan kasar ke leher lembu dan dengan pantas darahnya menyimbah ke muka saya.Wah! Tragis sungguh. Kalau yang pakar sembelih, darahnya memancut ke bawah tetapi bagi amatur macam saya inilah natijahnya.
Sudah Azamin, sudah..." teriak Husin kerana saya begitu 'bersungguh-sungguh' menyembelih lembu sehingga hampir putus lehernya saya 'kerjakan'.
"Dah putus urat marih pun, yang engkau hiris sampai ke tulang tu kenapa?," soal Husin ketika saya membersihkan darah di muka.
"Aaa...saya takut lembu tu hidup dan bangkit balik, tak kes naya nanti," jawab saya sambil diketawakan oleh Husin dan rakan-rakan yang lain.
Inilah pengalaman paling mahal yang tak pernah dimimpikan yang telah 'dihadiahkan' oleh Harakah dan AMAL kepada saya, dan mudah-mudahan Allah merestui kerja amal saya ini.
Kami kemudiannya ke Kampung Sultan Kudrat Simog untuk menyampaikan sumbangan dana dan zakat kepada anak-anak yatim yang mendiami Madrasah Ibnu Tamiyah. Sumbangan disampaikan oleh Husin kepada penjaga mereka, Sulaiman.
Katanya anak-anak yatim ini ada antaranya terdiri daripada keluarga atau ayah mereka yang syahid ketika bertempur dengan tentera manakala pusat pengajian madrasah itu ditutup sejak wilayah itu bergolak dengan peperangan.
Setelah merakamkan gambar anak-anak comel dan tidak berdosa ini kira-kira 20 minit, kami memecut laju untuk bersama dua kumpulan kami yang lain di Pejabat BDA Medical Society jam 7.20 malam kerana diraikan di dalam satu majlis makan malam oleh Presiden Bangsamoro Medical Society John Maliga.
Di situ kami bertukar-tukar pengalaman dan cerita dengan Dr. Ahmad yang menyembelih lembu di lokasi lain bersama Shuhaire (Teras), Tajuddin (bekas Tentera), Ismail Amar (unit Amal Johor), Mat Amin Sidek (Ketua Kampung Batu 8, Sabak Bernam) dan Azhan (Penasyid).
Perjalanan bahaya di medan tempur
"Mereka ketawa tengok kita bawa pisau dan parang kecil. Diaorang guna pedang samurai atau parang ang begitu panjang untuk sekali 'tebas', sekali sentap sembelihan. Bukannya memusing keliling leher lembu macam kita," kata Dr Ahmad.
"Kalau kambing, seorang sahaja yang buat..dia buat macam ayam je. Kalau kita tiga empat orang tahan kambing tu sampai tak bernafas.Lembu pun macam itu juga, dua atau tiga orang sahaja kerja kan. Kita satu pasukan bola rentap lembu tu sampai tumbang," katanya sambil kami ketawa sesama sendiri menghilangkan kepenatan yang mula merangkak lewat malam.
Esok 9 Disember ujiannya cukup mencabar dan mendebarkan bagi pasukan Misi AMAL apabila Imran menyatakan bahawa kami akan melalui kawasan medan tempur antara tentera Filipina dan pejuang mujahidin di Tatapan, Cotabato. Tugas kami di sana adalah untuk mengagihkan makanan dan memberi rawatan kesihatan kepada lebih 4,000 keluarga di khemah pelarian di Talayan dan Duta Piang, Cotabato.
Ya..untuk ke Duta Piang yang memakan masa sejam, kami mesti menempuh kawasan medan perang."May Allah bless you...Insya-Allah" kata Imran ringkas kepada kami sudah tentunya tidak dapat tidur lena mengenangkan perjalanan bahaya esok.
BERSAMBUNG...-azm
(Catatan di atas turut dimuatkan dalam keluaran Harakah edisi Isnin, 22 Disember dan bakal bersambung di Edisi Jumaat, 26 Disember untuk siri yang kedua)