Thursday, December 18, 2008

Kerjasama NGO-NGO Islam bakal terjalin mantap

KUALA LUMPUR : NGO-NGO Islam yang hadir dalam satu majlis “Bengkel Gerakkerja NGO Islam 2008” bertemakan "Kearah Perpaduan Umat" di ibu negara semalam bersetuju dan menyatakan sokong padu untuk memantapkan lagi kerjasama membangunkan ummah yang terpinggir di rantau Asia dan seluruh dunia.

Bengkel ini diadakan sebagai satu tindakan bagi melaksanakan resolusi yang telah diputuskan dalam satu persidangan Gerakkerja Antarabangsa NGO Islam 2007 yang juga diadakan di Kuala Lumpur tahun lalu.

Pengerusi SHURA (Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia), Al-Fadhil Ust Abdul Ghani Shamsuddin dalam ucapan aluannya menekankan kepentingan NGO-NGO Islam bergabung tenaga / sinergi bagi membentuk satu kekuatan yang utuh bagi menangani masalah ummat yang begitu kronik dewasa ini.

Selain dari menggariskan strategi-strategi dalaman dan luaran, prasarana dan pemangkin kepada keutuhan kerjasama ini perlu diwujudkan diantaranya membina rangkaian khas untuk NGO-NGO Islam yang bergabung untuk perkongsian maklumat.

Manakala Presiden Teras Pengupayaan Melayu, Cikgu Azmi Abdul Hamid membentang satu kertas kerja yang menyentuh perasaan dan emosi peserta bertajuk “Uniting and Empowering The Ummah” .
Beliau yang juga merupakan Setiausaha SHURA / Koordinator CIMMA membedah keupayaan, cabaran, sasaran dan inisiatif yang perlu diambil dan digembleng bersama untuk penyatuan ummat.

Beliau juga menekankan agar NGO-NGO yang hadir memberi tumpuan yang lebih fokus untuk menyelesaikan isu-isu umat Islam minoriti Antarabangsa yang tertindas melalui CIMMA (Centre For International Muslim Minority Affairs) yang terbentuk hasil dari resolusi persidangan Gerakkerja Antarabangsa NGO Islam 2007.
Di antara tetamu jemputan khas dalam bengkel tersebut adalah Prof Mohammad Bagher Ansari dari Tehran yang turut memberi ucapan ringkas akan kepentingan umat Islam bersatu dalam melaksanakan tanggungjawab ubbudiah kepada Allah SWT.

No comments: