PERTEMUAN MAPIM DENGAN KETUA JABATAN HAL EHWAL KEMANUSIAAN OIC & NGO ISLAM ANTARABANGSA MENGENAI PENYELARASAN ANTARABANGSA USAHA BANTUAN KEMANUSIAAN
Kuala Lumpur, 24 Ogos 2010 - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) hari ini telah mengadakan perbincangan usaha sama inisiatif komprehensif pembangunan semula Gaza dengan Jabatan Hal Ehwal Kemanusiaan, Persidangan Islam Sedunia (OIC) serta dua wakil pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa, Ar-Rahmah Alamiah, Kuwait dan Relief without Borders yang berpangkalan di Sweden.
Perbincangan yang turut disertai beberapa delegasi misi Ramadan di Gaza - March for Freedom MAPIM dan NGO tempatan itu telah diadakan di Martrade, Kuala Lumpur dipengerusikan oleh Mohd Azmi Abdul Hamid (Cikgu Azmi), ketua misi RADIG-MFF merangkap Setiausaha Agung MAPIM.
Setakat ini 100 projek telah dikenal pasti merangkumi pelbagai bidang termasuk pendidikan, kesihatan, perumahan, infrastruktur, pertanian, ekonomi dan pembangunan belia. Dr. Rami M. Inshasi, Ketua Jabatan Hal Ehwal Kemanusiaan OIC berkata penyelarasan kerja-kerja bantuan kemanusiaan di Gaza perlu dilakukan bagi mengelakkan daripada pembaziran dan pertindihan bantuan.
Dalam pengalaman beliau menggerakkan kerja-kerja bantuan kemanusiaan, pernah berlaku bekalan ambulan yang diperlukan di sebuah lokasi bencana cuma 50 buah sahaja tetapi akibat tidak ada penyelarasan jumlah ambulan yang akhirnya disediakan 120 buah, jauh melebihi keperluan tempat berkenaan. Katanya lagi, ini suatu pembaziran. Ambulan yang berlebihan itu boleh disalurkan ke tempat lain yang memerlukan.
Wakil Ar-Rahmah Alamiah, Kuwait, Dr. Waleed Al-Anjai pula menambah usaha sama antara NGO Islam seluruh dunia perlu direalisasikan demi penyatuan kerja-kerja bantuan kemanusiaan umat Islam seluruh dunia. Katanya, sudah tiba masanya umat Islam bersatu dan menjalinkan ikatan ukhwah yang utuh di dalam melaksanakan kerja-kerja bantuan kemanusiaan yang rata-ratanya menimpa saudara-saudara se-Islam sendiri.
Dalam pada itu, Dr. Mahfoodh Ali, Pengurus Projek, Relief Without Border yang berpangkalan di Stockholm, Sweden menjelaskan masyarakat Islam antarabangsa perlu memahami mengapa rakyat Palestin khususnya di Gaza mesti diberikan keutamaan bantuan kemanusiaan dibandingkan yang lain. Kata beliau, bantuan kepada rakyat Palestin yang dizalimi Israel itu adalah bantuan yang memenuhi tuntutan agama demi pembebasan Al-Quds. Usaha sama yang diselaraskan di bawah naungan OIC itu bakal disempurnakan secara rasmi melalui piagam bertulis yang dipersetujui bersama.
Rombongan yang diketuai Dr. Rami Inshasi dijadualkan berlepas ke Indonesia dan Brunei setelah sempurna tugasan di sini.
Sementara itu, Cikgu Azmi dalam reaksinya memaklumkan bahawa sebuah bengkel peringkat Asean dicadang untuk diadakan pada bulan Oktober ini bagi memperhalusi lagi projek dan gerak kerja usaha sama tersebut dengan penyertaan rakan-rakan kongsi sekitar negara-negara Asean.
Perbincangan yang berlangsung lebih satu jam itu telah mendapat liputan media, Astro Awani dan TV Selangor.
No comments:
Post a Comment