Thursday, August 26, 2010

Bantulah anak ini!

800,000 mangsa banjir terdesak


KANAK-KANAK ini menderita penyakit gatal kulit dengan badannya dihurung lalat di kem pemindahan mangsa banjir di Nowshera, Pakistan, semalam. - AFP

HYDERABAD 25 Ogos - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kira-kira 800,000 penduduk kini berada dalam keadaan terdesak memerlukan bantuan segera, setelah mereka terperangkap akibat banjir dan penghantaran bantuan tidak dapat dilakukan akibat jalan raya terputus.

PBB melancarkan rayuan kecemasan semalam agar lebih banyak helikopter digunakan untuk menghantar bantuan kepada mangsa yang terperangkap di kawasan yang hanya dapat diakses melalui udara selepas banjir meruntuhkan jambatan dan menenggelami jalan raya utama.

"Banjir monsun terus menyebabkan berjuta-juta penduduk kehilangan tempat tinggal di selatan Pakistan dengan anggaran 800,000 orang memerlukan bantuan segera dan hanya dapat dilakukan melalui udara," kata kenyataan Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).

Bencana itu telah menjejaskan lebih 17 juta penduduk dengan lima juta hilang tempat tinggal, sementara pegawai memberi amaran berjuta-juta yang lain berdepan risiko dijangkiti penyakit dan kekurangan makanan.

Kira-kira 1,500 orang disahkan terkorban setakat ini oleh pihak berkuasa Pakistan.

"Banjir yang tidak dijangka membawa cabaran logistik yang tidak diduga, dan ia memerlukan usaha luar biasa oleh masyarakat antarabangsa," kata Pembantu Setiausaha Agung Hal Ehwal Kemanusiaam dan Penyelaras Bantuan Kecemasan PBB, John Holmes.

Jumlah bantuan global kini mencecah AS$700 juta (RM2.2 bilion), namun pegawai bantuan Pakistan dan antarabangsa bimbang berhubung perlahannya penghantaran bantuan dan Islamabad menganggarkan kerugian kini mencecah AS$43 bilion (RM135 bilion).

Pegawai Pakistan memberi amaran bahawa kawasan subur di wilayah Sindh, di selatan negara ini berhadapan risiko banjir lebih teruk dalam masa beberapa hari berikutan air Sungai Indus dijangka melimpahi tebing.

"Hyderabad dan daerah-daerah di sekitarnya masih berhadapan dengan ancaman.

"Kita sedang bekerja di kawasan perang. Ini merupakan banjir luar biasa dan kami sedang berperang dengan banjir luar biasa," kata Menteri Pengairan Sindh, Jam Saifullah Dharejo. - AFP


sumber - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0826&pub=utusan_malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_05.htm&arc=hive

No comments: