Thursday, August 12, 2010

Dua Wira Mavi Marmara Malaysia Terima Watikah dari PM Gaza, Palestin





Mustapa Mansor - Salah seorang aktivis Mavi Marmara menerima watikah dari Ismail Haniyeh

Dua wira Mavi Marmara Malaysia yang terlibat di dalam tragedi berdarah menggemparkan dunia pada 31 Mei lalu menerima watikah penghargaan tertinggi daripada Perdana Menteri Gaza Palestin, Ismail Haniyeh.

Mustapa Mansor, Setiausaha Inisiatif Malaysia untuk Pembebasan Palestin, MAPIM dan Ashwad Ismail, wartawan Astro Awani dikejutkan dengan penyampaian watikah berkenaan sewaktu kunjungan hormat delegasi misi Ramadan Di Gaza - March for Freedom MAPIM pada jam 2.00 petang waktu tempatan di Pejabat Perdana Menteri itu.

Sewaktu diminta reaksi spontan selepas menerima watikah penghargaan berkenaan, kedua-duanya menyatakan kegembiraan dan kesyukuran masing-masing.

"Saya gembira dan terharu dengan kesungguhan pihak pemeritah Hamas Gaza. Sebenarnya mereka sangat sensitif dan prihatin dengan apa yang terjadi. Kepedulian mereka sangat tinggi terhadap sesiapa sahaja yang telah berkorban untuk pembebasan Palestin," luah Mustapa.

"Secara peribadi, penghargaan ini meningkatkan lagi keyakinan dan kesungguhan diri saya untuk terus melakukan inisiatif mempertingkatkan kesedaran masyarakat dunia terhadap perjuangan rakyat Palestin. Bagi MAPIM pula saya bersyukur kerana inisiatif yang tidak mengenal penat lelah yang dilakukan MAPIM selama ini tidak sia-sia malah akhirnya membuahkan hasil dan mendapat pengiktiran," tambah beliau lagi.

Ashwad Ismail - Wartawan Astro Awani bersama Ismail Haniyeh

Ashwad pula memberi reaksi tersendiri. Kata beliau, "Saya melihat ini sebagai sesuatu yang cukup berharga dalam pengalaman sebagai seorang wartawan muda sepanjang usaha mengetengahkan konflik enam dekad Asia Barat. Saya amat menghargainya dan ia menjadi pembakar semangat kepada saya dan juga rakan-rakan wartawan lain untuk melaporkan realiti sebenar keadaan yang menimpa rakyat Gaza dan Palestin akibat penjajahan dan kekejaman dasar Israelisasi kerajaan Zionis."

Acara yang dihadiri menteri dan pegawai-pegawai tertinggi kerajaan Gaza Palestin telah mendapat liputan meluas stesen televisyen tempatan Al-Quds dan Al-Aqsa.

Dalam pertemuan satu setengah jam itu, pelbagai perkara telah dikemukakan Mohd Azmi Abdul Hamid, ketua misi Ramadan Di Gaza - March For Freedom kepada Ismail Haniyeh. Antaranya termasuk, cadangan pembinaan Hospital Kanak-Kanak di bandaraya Gaza, bantuan kemanusiaan termasuk makanan, kemasyarakatan dan perubatan serta usahasama pendidikan khususnya institusi pengajian tinggi.

Acara bersejarah itu juga menyaksikan Perdana Menteri Gaza Palestin mengalungkan selendang tertera bendera Palestin dan Malaysia kepada semua anggota delegasi.


Anggota misi RADIG-MFF bersama PM Ismail Haniyeh dan Pegawai Kerajaan Gaza, Palestin

No comments: