Thursday, August 19, 2010

Misi Ramadhan di Gaza-March For Freedom MAPIM pulang dengan kejayaan melebihi sasaran asal

Misi Ramadhan di Gaza – March for Freedom anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia atau ringkasnya MAPIM selamat pulang ke tanah air pada hari Rabu, 18 Ogos, 2010 dengan semangat juang yang berkobar-kobar dan khabar kejayaan yang melebihi sasaran asal misi berkenaan.

Delegasi misi rasa sangat bersyukur kerana berjaya menembus sempadan Rafah dengan lancar hasil bantuan dan kerjasama padu pihak Kedutaan Malaysia di Mesir.

Sepanjang menjalani tempoh perlaksanaan selama 13 hari dari 6 Ogos hingga 18 Ogos, misi yang dianggotai 44 ahli itu dapat merai dan merasai semangat Ramadhan di bumi Gaza dengan keadaan aman dalam ikatan kekeluargaan dan persaudaraan walaupun rakyat Palestin di Gaza masih menghadapi sekatan regim Israel.

Di luar dugaan perancangan asal, pemerintah Gaza telah menjadikan delegasi misi ini sebagai tetamu rasmi kerajaan. Dalam pertemuan khas Perdana Menteri Gaza, Dr. Ismail Haniyeh dengan delegasi pada 11 Ogos 2010 di pejabat rasminya, beliau telah menyatakan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada rakyat Malaysia dalam menyokong dan membantu Gaza menghadapi kesulitan sekatan dan ancaman serangan regim Israel.

Malah, pada pertemuan itu, dua wira Mavi Marmara Malaysia, Mustapa Mansor, ahli jawatankuasa MAPIM dan Ashwad Ismail, wartawan Astro Awani telah dianugerahkan watikah penghargaan tertinggi oleh Perdana Menteri Gaza.

Dalam menyempurnakan misinya, delegasi telah berjaya menyampaikan bantuan makanan dan ubatan serta alat pendidikan daripada sumbangan rakyat Malaysia kepada golongan sasar. Namun keunikan misi ini adalah hasil yang telah dicapai melalui kajian menyeluruh dalam sembilan bidangan berikut :

  • Bantuan Kemanusiaan
  • Pendidikan
  • Kesihatan
  • Pembangunan Masjid
  • Wanita dan Kanak-Kanak
  • Ekonomi
  • Pentadbiran
  • Infrastruktur
  • Hak Asasi dan Jaringan NGO

Dalam aturcara lawatan dan temubual yang telah diatur oleh pihak berkuasa Gaza serta badan-badan bukan kerajaan tempatan, semua anggota misi telah menyaksikan sendiri kerosakan harta benda serta keperluan rakyat Palestin terutamanya di khemah pelarian di sekitar Gaza sejak dari serangan Israel pada awal tahun 2009.

Dapatan atau penemuan kajian itu telah dibengkelkan dalam Seminar Pasca Ramadhan March For Freedom yang sempat diaturkan oleh MAPIM yang turut disertai anggota delegasi dan beberapa jemputan di kalangan rakyat Malaysia yang berada di Kaherah pada 16 Ogos, 2010 di Hotel Cairo Khan, Kaherah.

Bagaimanapun yang menakjubkan ialah suasana sekitar yang begitu aman dan semangat kental rakyat Gaza untuk meneruskan kehidupan sangat ketara. Pertemuan dengan pelbagai golongan pemuda, wanita serta kanak-kanak termasuk pihak berkuasa tempatan menunjukkan jati diri dan daya ketahanan rakyat Gaza sangat tinggi dalam berhadapan dengan ancaman Israel.

Dalam pada itu, beberapa persepakatan konkrit dengan pihak berkuasa Gaza telah dicapai termasuk dalam beberapa projek yang berkaitan dengan kesihatan, pendidikan, infrastruktur dan pembangunan sosial rakyat Gaza.

Antara projek-projek jangka panjang yang disepakati MAPIM dan Kerajaan Gaza ialah :

  1. Hospital Pediatrik di tengah-tengah bandaraya Gaza,
  2. Cadangan bandar berkembar dengan kota Khan Younis,
  3. Cadangan masjid berkembar dengan Masjid Al-Umri – masjid tertua bandaraya Gaza (1500 tahun),
  4. Pembinaan jalan utama sepanjang 7km di kota Khan Younis yang bakal dinamakan Jalan Persaudaraan Malaysia Palestin.
  5. Taman Rehabilitasi Kanak-Kanak atas nama Malaysia di sebidang tanah 30 ekar di kota Khan Younis dan
  6. Cadangan kerjasama membangunkan kolej perubatan di Universiti Islam Gaza (Islamic University of Gaza)
  7. Cadangan pembinaan pejabat Sekretarian Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA) di Gaza.

Semua projek-projek cadangan ini akan diusahakan oleh MAPIM melalui dokongan dan sokongan rakyat Malaysia sambil berusaha mendapatkan kerjasama dengan kerajaan Negeri dan kerajaan Persekutuan seta Negara-negara Asean.

MOHD. AZMI ABDUL HAMID

Ketua Delegasi

Ramadhan Di Gaza – March for Freedom

Merangkap Setiausaha Agung MAPIM

No comments: